| Print |

PSC: Mesyuarat akhir Khamis ini

(Sumber) Sinar Harian, 18 March 2012

SHAH ALAM, 18 Mac:  Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya akan mengadakan perbincangan akhir Khamis ini sebelum membawanya ke Dewan Rakyat untuk mendapatkan persetujuan berhubung syor-syor yang disenaraikan panel itu.

 


PSC yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Maximus Ongkili akan mengadakan satu mesyuarat esok dan disusuli yang terakhir Khamis ini.

 

Ongkili yang juga anggota Kabinet berkata, sebelum semua cadangan dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan, PSC akan menghalusi perkara-perkara berbangkit.



“Pada masa itu, anggota PSC akan mencari jalan penyelesaian jika ada perkara-perkara bangkit bagi melengkapkan kertas cadangan,” katanya.



Salah seorang anggota PSC, Dr Mohd Hatta Ramli dari Pas berkata, "mesyuarat terakhir akan diadakan 22 Mac dan ia akan dibentangkan di Parlimen sebelum tempoh yang diberikan kepada kami berakhir."



Tempoh PSC akan berakhir 3 April. Dewan Rakyat dijadual bersidang sehingga 12 April.



PSC  turut dianggotai Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi; Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad; Ahli Parlimen Alor Gajah, Tan Sri Dr Fong Chan Onn dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan, masing-masing wakil Barisan Nasional (BN).



Selain Hatta, anggota pembangkang pula terdiri daripada Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali dan Ketua Pemuda Sosialis DAP, Anthony Loke manakala wakil Bebas ialah Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong.



Sementara itu, Kamalanathan berkata, sebarang cadangan yang diluluskan Parlimen, PSC tidak semestinya perlu dilaksanakan ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).



“Jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai alasan untuk tidak melaksanakan pada PRU13, mereka boleh berbuat demikian pada pilihan raya berikutnya.



“Jika ini berlaku, SPR perlu memberi penjelasan yang munasabah. Kami sebenarnya memberi ruang dan masa kepada mereka untuk melaksanakannya dan membuat penjelasan kenapa cadangan itu mahu ditangguhkan,” katanya.



Begitu pun katanya, cadangan PSC seperti penggunaan dakwat kekal akan dilaksanakan SPR pada PRU13.



Ditanya sama ada SPR akan memberi kelonggaran kepada pengundi pos dan pengundi awal mengundi dua atau tiga hari sebelum pilihan raya, katanya, perkara itu masih diperhalusi pihak berkenaan.



Menurutnya, SPR juga masih menimbang cadangan memberi pengundi yang menetap di luar negara mengundi dengan syarat tertentu seperti dicadangkan PSC.