| Print |

Wawancara Wikileaks: Raja Petra mohon tumpang slot bersama Anwar

Keadilankini, 19 March 2012

PETALING JAYA, 19 Mac: Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan bahawa undangan wawancara oleh pengasas Wikileaks, Julian Assange kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini adalah berbentuk wawancara satu sama satu di antara beliau dengan Assange sahaja.

 

"Pertamanya kami mahu menjelaskan bahawa permohonan yang diajukan oleh Wikileaks kepada Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu wawancara antara Julian Assange dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Ibrahim Yaacob, ketua staf Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

 

Menurut Ibrahim lagi, pihaknya diberitahu bahawa Raja Petra Kamaruddin kemudiannya memohon untuk menumpang (dalam slot) dalam wawancara tersebut.

 

"Makanya Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau hanya menyatakan persetujuan untuk permintaan yang asal iaitu wawancara antara beliau dengan Julian Assange.

 

"Oleh itu Quick Roll Productions, pihak produksi yang terlibat dengan wawancara ini telah membuat keputusan editorial untuk meneruskan format wawancara antara Julian Assange dengan Datuk Seri Anwar tanpa melibatkan penumpang lainnya. Keputusan editorial tersebut semata-mata dibuat oleh Quick Roll Productions dan tidak dipaksakan oleh Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas mereka," tegas Ibrahim lagi.

 

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyifatkan Anwar sebagai penakut kerana meminta penganjur forum Wikileaks mengeluarkan nama Raja Petra Kamarudin dari senarai peserta wawancara tersebut.