| Print |

Banjir: Kerajaan Negeri tanggung kos baiki kerosakan rumah

Keadilankini, 19 March 2012

SHAH ALAM, 19 Nov: Kerajaan Negeri  Selangor telah mengenal pasti  11 buah rumah yang rosak teruk dalam kejadian banjir di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang pada 7 Mac lalu, dengan anggaran kos pembaikan dianggarkan sebanyak RM105,000.


Rumah-rumah ini dicadangkan untuk diperbaiki oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz yang mana kesemua rumah ini dimiliki penduduk tempatan bukan berstatus penyewa.


Setiap pemilik rumah ini akan menerima bantuan antara RM1,500 sehingga RM30,000 bergantung kepada tahap kerosakan, manakala terdapat sebuah rumah yang mengalami kerosakan teruk dan Kerajaan Negeri bercadang mengantikan rumah baharu di bawah Program Kerajaan Prihatin.


Kebanyakan rumah-rumah ini mengalami kerosakan pada dinding, dapur dan siling yang perlu dibaiki untuk membolehkan pemiliknya menduduki semula rumah mereka.

Dalam pada masa yang sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut mengumumkan bantuan wang tunai kepada mangsa banjir ditambah kepada RM1,000 setiap keluarga bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung mangsa.


Beliau membuat pengumuman itu pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.


Beliau berkata, Kerajaan Negeri sangat prihatin dengan beban yang ditanggung mangsa banjir dan langkah segera akan diambil untuk mengelak kejadian sama berulang termasuk menyegerakan kerja-kerja mendalamkan sungai.


Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusian Selangor (PANTAS) yang diketuai Exco negeri, YB Rodziah Ismail juga  mengadakan program gotong royong membersihkan rumah penduduk pada 17 dan 18 Mac baru-baru ini.


Anggota sukarelawan PANTAS seramai 80 orang membantu mangsa banjir membersihkan peralatan rumah yang ditenggelami air, membersihkan sampah sarap dan longkang yang dipenuhi lumpur, membersihan surau selain memberi bantuan pakaian dan makanan.