| Print |

UCAPAN PEMBUKAAN DEWAN NEGERI SELANGOR MOHAMED AZMIN ALI | BUKIT ANTARABANGSA JUMAAT, 23 MAC 2012

Azmin Ali, 26 March 2012

Yang Berhormat Tuan Speaker,


1. Saya ingin menjunjung kasih atas titah DYMM Tuanku Sultan Selangor yang telah berkenan merasmikan Upacara Pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Dewan Negeri Selangor Kedua Belas.


2. Bagi pihak Kelab Penyokong - Penyokong Kerajaan, saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Yang Berhormat Tuan Speaker yang telah mempengerusikan Sidang Dewan Negeri ini selama lima penggal Persidangan Dewan Negeri dengan tegas, adil dan saksama. Tuan Speaker telah menjalankan tanggungjawab beliau dengan mengambil langkah-langkah reformasi dan pembaharuan demi mempertingkatkan martabat dan memelihara kewibawaan dewan yang mulia ini. Langkah-langkah progresif yang diambil termasuk siaran secara langsung Sidang Dewan Negeri, pendengaran awam SELCAT, penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas dan penerbitan jurnal. YB Speaker juga tekun meneliti dan menghalusi cadngan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Dewan melalui satu enakmen yang dikenali sebagai SELESA dengan tujuan yang murni dan mengikut amalan terbaik ( the best practices ) di negara-negara Commonwealth.


3. Titah Tuanku menyentuh banyak persoalan umat tetapi kesemuanya berkisar kepada peringatan dan nasihat Tuanku bahawa ahli-ahli Dewan Negeri tidak terlepas dari tanggungjawab untuk mengangkat agenda rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi bagi menjamin kesejahteraan seluruh rakyat Negeri Selangor. Saya yakin sesi soal jawab dan perbahasan yang matang mampu menjawab segala tohmahan dan serangan yang tidak bertanggungjawab.


4. Ada pihak yang cuba menyinggung kita dengan membuat dakyah bahawa apabila Pakatan Rakyat menerajui Putrajaya, kita akan menukar pemerintahan Raja Berperlembagaan kepada sistem Republik. Ini adalah satu fitnah jahat yang bertentangan dengan akidah seorang Islam. Sebaik sahaja berlaku tsunami politik pada tahun 2008, Pakatan Rakyat telah mengulangi ikrar melalui deklarasi khas yang ditandatangani oleh 3 pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat iaitu YB Dato' Seri Anwar Ibrahim, YB Lim Kit Siang dan YB Dato' Seri Abdul Hadi Awang pada 8 September 2008.


5. Jelas dalam ikrar tersebut bahawa Pakatan Rakyat akan mempertahankan dasar-dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak- hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan. Pada ketika itu,Gombak Setia adalah Pesuruhjaya PAS Selangor dan merupakan sebahagian daripada muafakat Pakatan Rakyat.


6. Pengurusan ekonomi negeri yang terus berkembang biarpun berhadapan dengan persekitaran luar yang mencabar membuktikan kemampuan Dato' Menteri Besar dan Kerajaan Negeri mengurus khazanah dan amanah dengan tanggungjawab walaupun ada tekanan ke atas Kerajaan Negeri termasuk tekanan politik daripada Kerajaan Pusat yang menyalahgunakan institusi Kerajaan bagi tujuan politik mereka untuk merampas Negeri Selangor.


7. Alhamdulillah, rakyat mengecapi hasil negeri yang merupakan hak mereka dan bukan kurniaan daripada pemerintah. Fakta, angka dan statistik yang dikemukakan ini membuktikan Pakatan Rakyat berupaya untuk mentadbir negeri dan mengurus ekonomi dengan berkesan berteraskan prinsip kewangan yang berhemah, tatakelola yang baik dan prinsip value for money.


8. Selain pengurusan ekonomi, tadbir urus yang berkesan juga penting bagi sesebuah kerajaan yang unggul. Bagi memastikan tadbir urus negeri berada pada tahap yang terbaik, pentadbiran kerajaan harus memiliki ciri-ciri menggalakkan penyertaan rakyat, keputusan yang berorientasikan konsensus, telus, responsif, berkesan dan cekap, saksama dan inklusif serta menurut kedaulatan undang-undang.


9. Walau bagaimanapun, karenah birokrasi yang keterlaluan menjadikan sistem penyampaian Kerajaan tidak efisyen seterusnya membantutkan produktiviti negeri.


10. Sebagai sebuah kerajaan reformasi, sistem penyampaian  perlu menjadi keutamaan demi perkhidmatan kepada rakyat. Teknologi tinggi serba canggih serta keterbukaan teknologi maklumat harus menjadi asas reformasi sistem pentadbiran. Pentadbiran yang menggunapakai teknologi dapat menjimatkan kos, masa dan mengurangkan karenah birokrasi yang membebankan rakyat.


11. Ini bukan sahaja menjamin usaha tadbir urus yang baik tetapi juga merupakan suatu usaha untuk memastikan pengurusan dan sistem perkhidmatan pentadbiran efisyen dan lancar. Kerajaan Negeri Selangor percaya pengurusan yang cekap adalah pengurusan yang mengurangkan karenah birokrasi dan meringankan kos yang ditanggung oleh rakyat.



Yang Berhormat Tuan Speaker


12. Saya ingin menarik perhatian dewan kepada usaha menyediakan kemudahan perkhidmatan WiFi berkapasiti tinggi. Sejak tahun 1990an, perkhidmatan internet telah digunakan dengan rancak. Berbanding era pra internet, perkhidmatan internet hari ini mendesak penggunaan kapasiti yang lebih tinggi untuk pengaliran maklumat yang lebih cepat dan bebas.


13. Hal ini adalah berdasarkan peningkatan inovasi teknologi, kaedah sambungan dan kelajuan pengaliran maklumat. Untuk mendepani kecanggihan teknologi hari ini, sudah semestinya Kerajaan harus menyediakan perkhidmatan internet yang mampu dimiliki, mudah dan diyakini supaya dapat dimanfaatkan oleh masyarakat. Contoh akses internet yang canggih dan baik adalah seperti di Seoul, Korea yang sangat murah dengan kadar USD 20 sebulan untuk kapasiti sambungan 10Mbps. Di Malaysia, kapasiti sambungan 10Mbps yang diperkenalkan UniFi berharga RM 200 sebulan, sekitar USD 60 iaitu tiga kali ganda lebih mahal daripada Seoul.


14. Oleh itu, perkhidmatan internet percuma yang terbaik untuk kegunaan rakyat adalah melalui perkhidmatan WiFi  di mana grid rangkaian akan merebak ke seluruh negeri untuk manfaat rakyat. Perkhidmatan WiFi percuma yang sedang disediakan oleh Kerajaan Negeri pada hari ini adalah selaras dengan idea internet berkapasiti tinggi untuk rakyat. Namun begitu, sasaran 4,000 lokasi di seluruh pelosok negeri haruslah mengutamakan kawasan luar bandar berikutan keperluan yang lebih utama di sana dan menjadi lebuhraya maklumat untuk menjamin connectivity di antara rakyat dan Kerajaan Negeri.


15. Kemudahan ini akan membantu masyarakat luar bandar yang tidak mempu mendapatkan perkhidmatan ini untuk dimanfaatkan bagi tujuan pendidikan serta mendapatkan maklumat. Selain daripada mewujudkan Informed Society atau masyarakat bermaklumat, perkhidmatan ini juga akan membantu merapatkan jurang sosial dalam masyarakat serta menyediakan infrastruktur untuk menarik pelaburan asing untuk masuk ke Negeri Selangor ini. Harapan kita agar perkhidmatan ini dapat digunakan sebaiknya  dan sentiasa diperkemaskan supaya menjamin kepuasan hati pengguna.




Yang Berhormat Tuan Speaker


16. Asas tadbir urus yang baik berdasarkan prinsip value for money dan kecekapan pengurusan Kerajaan telah menyumbang kepada simpanan rizab negeri yang besar. Kita bersyukur dan berbangga dengan nilai 1.9 bilion. Namun, saya mohon di dewan yang mulia ini supaya rizab simpanan negeri dapat dipertimbangkan untuk digunakan sebahagiannya dalam program-program untuk pembangunan masyarakat seperti usaha memberdayakan wanita dan generasi muda.


17. Saya ingin menarik perhatian dewan kepada suatu usaha untuk memberdaya wanita dan masyarakat melalui penubuhan Women's Development Corporation (WDC). Objektif penubuhan WDC adalah untuk membangunkan dasar-dasar Kerajaan yang responsif kepada perihal gender disamping mempromosikan kesedaran, kefahaman tentang gender dan keadilan sosial.


18. Inisiatif ini adalah usaha baik Kerajaan untuk memberdaya kaum wanita khususnya untuk menggalakkan partisipasi wanita dalam kepimpinan dan mekanisme membuat keputusan dalam segala bidang. Ini sekaligus menggalakkan persekitaran yang inklusif dalam sebuah masyarakat yang pelbagai kaum, budaya dan agama.


19. Walaupun saya menyedari Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan tambahan berjumlah RM 30 juta dalam bentuk Geran Selangorku untuk memberdaya wanita, namun pembentukan WDC ini akan berperanan dengan lebih efektif kerana mempunyai struktur yang jelas dan dipimpin oleh golongan wanita profesional.


20. Saya yakin dan percaya, pentadbiran di bawah YAB Dato' Menteri Besar mempunyai iltizam yang kuat untuk melakukan reformasi dalam masyarakat dengan memberdayakan kaum wanita. Semoga usaha yang baik ini akan mempertingkatkan keharmonian dan kemakmuran negeri demi kesejahteraan rakyat.



Yang Berhormat Tuan Speaker


21. Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merupakan agensi Kerajaan Negeri yang telah diberikan tanggungjawab untuk mendirikan Rumah Mampu Milik untuk golongan berpendapatan antara RM2500-RM5000 sebulan. Projek sulung yang telah dilancarkan di Bangi pada tahun yang lalu adalah jauh lebih murah dengan harga kurang RM100,000 berbanding rumah mampu milik yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan dengan nilai melebihi RM200,000.


22. PKNS meletakkan sasaran untuk membina 11,000 unit Rumah  Mampu Milik di atas tanah-tanah milik PKNS. Berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri termasuk syarat bahawa setiap unit harus dilengkapi dua (2) tempat letak kereta dengan tambahan 20% kos telah melonjak sehingga RM 180,000 seunit. Ini termasuk lah kos elevated carpark dan kemudahan rekreasi lain seperti dewan dan nursery yang turut menyumbang kepada peningkatan kos pembinaan. Kos pembinaan untuk seunit elevated carpark telah mencecah RM 30,000.


23. Oleh kerana kos pembinaan bagi seunit rumah adalah bernilai RM 180,000 dan PKNS diminta untuk menjual pada harga RM 85,000 seunit, ini bermakna PKNS terpaksa menanggung subsidi sebanyak hampir RM100,000 bagi setiap unit rumah yang dijual. Jumlah subsidi sebesar RM 1.1 bilion untuk menyiapkan 11,000 unit rumah adalah diluar kemampuan PKNS.


24. Apakah rancangan Kerajaan untuk meringankan bebanan PKNS dalam usaha menyediakan keselesaan kepada rakyat ? Saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan mengkaji semula harga yang ditetapkan untuk Rumah Mampu Milik dan juga melonggarkan syarat - syarat termasuk kemudahan tempat letak kereta serta mencari mekanisme yang lebih berkesan untuk menyelesaikan masalah tersebut.


25. Saya yakin dan percaya bahawa dasar yang pragmatik akan turut menarik pemaju yang lain untuk bersama-sama dengan Kerajaan Negeri dalam usaha menyediakan Rumah Mampu Milik yang lebih selesa untuk rakyat dan tidak merugikan pemaju termasuk menanggung subsidi yang terlalu tinggi. Kita juga yakin bahawa sokongan kerajaan terhadap usaha ini akan membantu PKNS supaya dapat bersaing dengan pemaju-pemaju lain dalam industri pembinaan.



Yang Berhormat Tuan Speaker


26. Isu Tanah Rizab Melayu turut dibangkitkan dalam titah Tuanku Sultan dan saya menyambut baik nasihat Tuanku supaya Kerajaan Negeri memelihara Tanah Rizab Melayu. Saya yakin Kerajaan Negeri akan mematuhi peruntukan perlembagaan berkenaan Tanah Rizab Melayu selaras dengan prinsip rule of law dan semangat berperlembagaan.


27. Saya juga ingin menarik perhatian dewan yang mulia ini kepada satu kes kerakusan UMNO di kawasan Parlimen Gombak dan Dewan Negeri Hulu Kelang. Sejumlah 74 ekar Tanah Rizab Melayu di Sungai Sering telah dijual dan dipindah milik kepada Syarikat Triumph City Development Sdn Bhd tanpa sebarang gantian tanah di kawasan lain. Syarikat ini turut gagal membangunkan tanah berkenaan dan berdegil untuk menjelaskan bayaran premium tanah biarpun status tanah tersebut telah ditukar. Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat terpaksa merampas kembali tanah tersebut untuk menjaga kepentingan rakyat Negeri Selangor.


28. Satu lagi amalan yang seringkali dilakukan oleh pentadbiran UMNO dalam menguruskan Tanah Rizab Melayu ini adalah dengan menukar tanah rizab dikawasan bandar dengan tanah dikawasan luar bandar yang bernilai jauh lebih rendah daripada harga tanah rizab yang asal. Hal ini menyebabkan Tanah Rizab Melayu di Negeri Selangor susut nilai dan memberi impak kepada nilai aset orang Melayu. Inilah amalan khianat UMNO kepada orang Melayu di Negeri Selangor ketika mentadbir negeri ini.


29. Kerajaan Pakatan Rakyat terbukti tidak menyalahgunakan mandat yang telah diberikan oleh rakyat. Oleh itu, adalah diharapkan agar Kerajaan Negeri dapat merangka satu Pelan Strategik Pengurusan Tanah Rizab Melayu supaya dapat dibangunkan secara tersusun dan dipelihara supaya terus mengekalkan status tanah demi kepentingan generasi masa depan.



Yang Berhormat Tuan Speaker


30. Tokoh Reformasi Indonesia, Amien Rais dalam karyanya 'Menyembuhkan Bangsa Yang Sakit' mengupas gagasan reformasi untuk sebuah negara republik yang dilihat sedang sakit. 'Sakit' yang dimaksudkan oleh beliau adalah tadbir urus negara yang dibarahi amalan rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan dan kronisme. 'Sakit' ini menurutnya akan terus membarah dalam masyarakat seterusnya membunuh bangsa Indonesia yang merdeka.


31. Untuk menyembuhkan kesakitan ini, Amien mengupas perihal kesatuan rakyat untuk membawa perubahan dan melawan barah yang kian meresap ke dalam tubuh bangsa Indonesia.


32. Ini mengingatkan saya kepada kesatuan hati dan iltizam rakyat Negeri Selangor yang bangkit melawan kesakitan yang turut membarah dalam pentadbiran Kerajaan di bawah pentadbiran UMNO. Amalan rasuah, kronisme, penyelewengan dan salahguna kuasa adalah malapetaka yang harus ditentang habis-habisan demi kesejahteraan seluruh rakyat negeri ini. Dengan asas itu, kemenangan rakyat pada 8 Mac 2008 harus terus dipertahan dan dilanjutkan demi rakyat khususnya di Negeri Selangor.


33.  Kita bersyukur, laporan kaji selidik yang dibuat oleh badan penyelidikan profesional, Merdeka Centre mendapati sebanyak 60% rakyat Negeri Selangor menyatakan bahawa pentadbiran pada hari ini berada pada landasan yang tepat dan 64% rakyat berpuas hati dengan prestasi pentadbiran Pakatan Rakyat hari ini. Malah, sokongan masyarakat Melayu terus meningkat sehingga 59% sementara sokongan bagi masyarakat Cina dan India adalah sebanyak 69%.


34. Ditambah lagi dengan kenyataan Tun Daim Zainuddin dalam wawancara dengan akhbar Sin Chew Daily bertarikh 15 Mac 2012 tyang menyatakan bahawa amat sukar untuk UMNO merampas kembali Negeri Selangor yang tampil dengan imej sebuah Kerajaan yang berintegriti. Ini jelas menjadi kegusaran UMNO yang tidak dapat menandingi keupayaan pentadbiran hari ini biarpun baru berusia empat (4) tahun. Terbukti sekiranya Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan dapat ditadbir dengan baik oleh Pakatan Rakyat nescaya kesejahteraan akan lebih dikecapi oleh rakyat apabila kita sampai ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke 13.


35. InshaAllah, saya yakin kejayaan yang dikecapi hari ini adalah natijah daripada kejituan semangat dan kesedaran rakyat untuk berubah.


36. Sekian, saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun;


Gagasan reformasi semangat baru

Ketuanan rakyat kita martabatkan

Rakyat sejahtera negeri maju

Kemenangan rakyat kita lanjutkan